Friday 28 March 2014

Luka

Parut di hati aku,
hari ini bertambah lagi satu.

Hari yang mendatang pun,
entah berapa banyak lagi.

Tak mengapa,
aku tahu,
suatu masa,
bila sudah penuh parut di hati aku,
tiada satu ruang pun untuk ditoreh lagi.

Thursday 16 January 2014

Manusia-manusia dalam Hidup Kita


Dalam hidup kita ni, kita cuma akan jumpa dengan tiga jenis manusia :



Yang pertama;

Yang datang dan pergi.

Mereka ini adalah manusia yang datang dan pergi dari hidup kita. Kadang kala datangnya dengan sesuatu sebab, kadangkala datang kosong begitu sahaja. Walaupun kehadiran mereka dalam hidup kita cuma sebagai insan ‘lalu-lalang’ sahaja; tapi mereka tetap mempunyai fungsi masing-masing dalam skrip hidup kita. Mereka ini juga lah warna-warni kehidupan manusia di sekeliling kita. Warna yang hanya kita boleh pandang; tetapi tidak boleh sentuh. Sama seperti hadirnya mereka tak menyentuh hati dan kehidupan kita secara konsisten sehingga menimbulkan makna.

Mereka ini boleh jadi kawan biasa, teman sepejabat, pakcik jual aiskrim, nyonya jual sayur di pasar, kenalan Facebook, atau sesiapa saja. Boleh jadi juga seseorang yang secara taliannya rapat dengan kita tapi amat asing dari segi hubungan dan ikatan; contoh: sepupu yang dah lama kita tak jumpa. Atau bapa kandung yang meninggalkan kita semasa kecil.

Mereka ini adalah, manusia yang biasa-biasa saja.







Yang kedua;

Yang datang singgah dan memberi erti, sebelum pergi selama-lamanya.

Mereka ini pula pada asalnya juga adalah manusia yang biasa-biasa saja dalam kehidupan kita.Hingga pada suatu ketika akhirnya dia diterima sebagai satu watak dalam hidup kita kerana kewujudannya dalam skrip hidup kita memberi satu makna baru. Mereka ini selalunya berkongsi rasa yang sama dengan kita. Memahami setiap apa jua isi hati kita. Biarpun begitu, jangka hayat hubungan antara kita dengan manusia ini tidak lama. Sampai satu saat, kita akan melepaskannya atau mereka yang sendiri pergi atas tuntutan waktu dan keadaan. Kemudian, mereka akan hilang lenyap terus dari hidup kita. Segala macam rasa, impian, mimpi, kebaikan, dan segala-galanya yang pernah dikongsi bersama kita juga akan pergi begitu sahaja. Kehadiran mereka dalam hidup kita hanya menjadi nostalgia atau titik kenangan setelah mereka pergi.Namun begitu, kehadiran mereka itu tetap menjadi sesuatu yang dikagumi. Membuatkan kita melangkah dengan lebih tabah dalam hidup.

Mereka ini selalunya orang yang pernah rapat dalam hidup kita, juga dengan diri kita tidak kisahlah sama ada dari sudut hubungan hati ataupun fizikal. Tetapi, mereka akhirnya pergi. Mereka ini boleh jadi bekas kekasih kita, bekas isteri atau suami, rakan karib, teman istimewa, atau sesiapa saja yang kita temui dalam hidup kita sebagai manusia biasa; akan tetapi berlakunya sesuatu peristiwa yang membuatkan kita tidak boleh lupakan mereka terus.

Mereka inilah, manusia yang diingati.






Yang ketiga;

Yang datang, memberi erti, dan diminta kekal selama-lamanya bersama.

Manusia ini pada asalnya juga biasa-biasa saja dalam hidup kita. Orang biasa dalam kehidupan kita yang tak dihiraukan sangat.Kemudian, pada suatu ketika… mereka timbul memberikan makna. Membuatkan kita rasa dia adalah watak penting dalam skrip hidup kita. Fasa asalnya kehadiran mereka dalam hidup kita, sama seperti manusia yang diingati itu. Cuma apa yang beza, di saat mereka memilih untuk pergi dari hidup kita; kita pinta mereka untuk tinggal. Kekal berada dalam radius kehidupan kita; sebagai seseorang yang dikagumi, sebagai seseorang untuk berkongsi warna-warni kehidupan, sebagai seseorang untuk disayangi. Kita merasa rugi untuk melepaskan mereka pergi; atau boleh saja melepaskan mereka… tetapi kita sendiri yang cukup takut untuk menghadapi saat ketiadaan mereka dalam hidup kita. Bezanya manusia ini dengan manusia yang diingati itu juga adalah kerana pilihan mereka : di saat mereka di persimpangan yang boleh saja mereka pergi kepada seseorang atau sesuatu yang lebih baik, mereka pilih untuk tetap tinggal bersama kita. Berada dalam radius kehidupan kita.Ikhlas menjalani dan berkongsi sama suka duka kita. Tak mudah meninggalkan jika dia baik, tak mudah pergi jika di uji dengan kesenangan.

Mereka inilah selalunya orang yang rapat dengan kita. Orang di sekeliling kita yang tak pernah meninggalkan saat susah senang kita. Konsisten hadir dalam hidup kita berabad lamanya. Boleh jadi mereka ini sahabat kita, ahli keluarga kita, atau juga pasangan kita :kekasih yang ikhlas akan mengahwini kita dan sudah teruji kesetiaannya; suami atau isteri kita yang tak pernah meninggalkan kita biarpun berpeluang untuk curang; atau… seseorang yang bukan sesiapa pun taliannya dalam hidup kita, tak lebih dari sekadar seorang teman biasa mungkin. Tapi mereka inilah yang terus ikhlas menunggu kita dan terus-terusan ada di sisi kita; menunggu peluang yang lebih pasti untuk hadir dalam hidup kita sebagai seseorang yang lebih kuat ikatannya dalam hidup kita.

Mereka inilah, manusia yang dicintai.




Sunday 1 December 2013

Meski Kau Bukan Selma Karamy

Kalau aku ada dekat dengan kau,aku akan jadi diam.
Hanya hati berbicara.
Ada permainan mata tapi sering malu bersua.
Dunia jadi senyap... sunyi.
Macam dua entiti di bawah gelap bayang pohon Melur;di tengah bulan mengambang.
Macam saat tautan cinta Selma Karamy dan Kahlil Gibran.
Macam saat tautan cinta kisah lama.
Bila aku bersama kamu,sudah tiada garisan masa... Lalu, kini, dan akan datang bercantum menjadi satu.


-Dilobotomi-
Penang / 4.12 a.m / 2 Oktober 2013

Thursday 3 October 2013

Hujan

Power betul asam pedas kepala ikan tongkol ni! Aku rasa, ni la asam pedas yang paling power kat tempat aku. Kuahnya yang umphhh! Dihidangkan hanya dengan nasi putih pun dah cukup power. Sebab tu lah aku kerap ke sini untuk lunch. Boleh buat aku lupa sekejap dengan tempat kerja aku yang macam neraka tu.

Guruh berdentum. Aku lihat langit gelap.

"Arghhh! Kacau betul. Aku baru nak menikmati masa berharga aku." getus hati aku.

Lalu hujan pun turun dengan selebat-lebatnya.

Hujan, masalah paling besar bagi mat motor macam aku ni. Bila hujan, mesti stuck. Nak redah takut basah. Kejap lagi aku nak masuk balik office aku yang macam neraka tu. Kacau betul! Takde pilihan lain. Aku terpaksa tunggu hujan reda atau redah je nanti. Terpaksa la aku duduk termenung kat warung tu kejap.

Sedang aku duduk termenung melihat air yang turun dari langit, melihat manusia-manusia yang mencari tempat berteduh, aku terlihat seorang anak kecil sedang berlari-lari dalam hujan. Ibunya memanggil-manggilnya, tetapi tidak dihiraukan.

Anak kecil itu masih lagi berlari-lari dalam kehujanan. Lalu dia mendepakan kedua tangannya sambil mendongak ke langit. Riak wajahnya begitu girang, persis menadah butiran-butiran emas yang jatuh dari langit.

Melihat gelagat anak kecil itu, membuat aku tersenyum. Terasa satu perasaan yang senang menusuk ke dalam hati aku.

"Hujan rahmat," bisik hati aku.

Anak kecil itu hatinya ikhlas suci, walaupun dia tidak tahu lagi apa itu erti bersyukur.

Saturday 31 August 2013

Takdir dan Du'a

Du’a adalah harapan dan Tuhan tempat tuju segala suara-suara harapan’- Narmi.

Nasib atau dalam bahasa kolonialnya ‘luck’ boleh menjadi dua, sama ada yang baik atau buruk. Islam mengelar ‘nasib’ sebagai ‘takdir’yang ditentukan oleh Tuhan. Namun semacam menjadi kebiasaan, ‘nasib’ sering dilihat dalam kerangka barat yang kemudian menjadi tidak lebih sekadar ucapan kebiasaan iaitu ‘wish me luck’. Tiap sesuatu yang tuhan ciptakan pasti punya sebab musabab yang tertentu dan ini termasuklah juga dengan penciptaan ‘takdir’.

‘Tidak ada yang boleh menolak Takdir (ketetapan Allah) kecuali do’a, dan tidak ada yang boleh memanjangkan umur kecuali amal kebaikkan,- Haidar Bagir.

Itulah pesan yang dititipkan oleh seorang khatib di sebuah masjid di Indonesia lewat khutbahnya. Doa juga adalah senjata orang-orang mukmin. Dengan doa takdir yang buruk boleh dielakkan dan begitu juga sebaliknya. Kalau menurut Syeikh Hussain Fadhullah (dalam Syarh Du´a intitah), Du’a itu ada prasyaratnya iaitu: berputus asa dengan semua makhluk, dan terus asa dengan Tuhan. Namun harus juga diingat bahawa berawal dari semua ini adalah usaha yang tak henti dan sabar yang tak pernah lelah. Dan setelah itu berpeganglah kepada konsep ‘Tawakal’ dengan berserah diri dan yakin kepada kekuasaan kepada Allah semata. Memang kalau tanpa Du’a, masakan Nabi Yunus dapat melepaskan diri dari perut Ikan Nun.